Tuesday, 8 September 2020

Ulasan Buku #1: Animal Farm

 


"All animals are equal, but some animals are more equal than others"


Tajuk: Animal Farm

Penulis: George Orwell

Mukasurat: 55

Penerbit: Wilco Publishing House, 1944

Rating: 10/10

 

Saya tak letak harapan yang tinggi kepada buku ni walaupun ramai orang kata bagus sebab ni buku Orwell yang pertama saya baca.

 

Tapi Orwell jauh melangkaui sangkaan awal saya.

 

Animal Farm ni menceritakan kisah sekumpulan haiwan-haiwan kandang yang melakukan revolusi kerana sudah serik hidup di bawah cengkaman manusia. Pencetus kepada revolusi ni dimulakan dengan mimpi dan impian seekor babi tua bernama Old Major dan diketuai oleh 2 ekor babi yang lain; Snowball dan Napoleon

 

Majoriti cerita ni menerangkan proses yang berlaku selepas revolusi iaitu pembinaan semula Animal Farm dan pengotoran sistem. Hanya 10% cerita sebelum revolusi. Dan di hujungnya, kita akan nampak apa kensa revolusi apabila rakyat dan pemimpin mempunyai mentaliti yang gagal.

 

Buku ni novel satira. Saya katakan satira kerana buku ni ditujukan kepada Revolusi Rusia yang perlahan-lahan menjauh daripada tujuan asal reformasi mereka. Mungkin sasarannya agak tertumpu tapi perangai masyarakat binatang dalam novel ni dan segala ke’babi’an mereka sesuai untuk dijadikan refleksi mana-mana orang awam atau sistem politik.

 

. . . . . . . . . . . .

 

Benda yang saya suka berkaitan buku ni:

 

1. Penggunaan bahasa yang mudah dan idea yang straightforward. Ada orang kritik buku ni sebab cara penyampaian dia yang terlalu mudah. Kata mereka “Idea besar-besar macam ni mana boleh guna cara yang mudah-mudah untuk sampaikan, kena guna bahasa bombastik!”.

 

Tapi itulah kehebatan dan point yang Orwell nak sampaikan. Apalah guna belajar pandai-pandai tapi idea yang kita utarakan sepatah haram masyarakat tidak faham? Akhirnya hebat kita hanya acah-acah kerana apa yang kita sembangkan berlegar dalam kelompok kita sahaja.

 

2. Kritikan sosial dan sindiran yang kelakar. Pernah tak reaksi anda kepada kritikan orang hanyalah ketawa sebab anda tahu benda itu tepat, tak boleh disangkal dan sangat rapat dengan kehidupan sendiri? Ya, begitulah sindiran Orwell dalam buku ini.

 

3. Pengakhiran cerita yang kelakar dan sedih pada masa yang sama. Separuh jalan dalam pembacaan saya, saya ada buat tekaan untuk penghabisan cerita ni dan mengomel sendiri “Entah-entah jadi macam ni tak?”. Sampai ke penghujung, saya tergelak sendiri sebab tekaan saya sebiji sama. Saya tak nak letak sini apa pengakhiran dia, nanti tak seronok pula anda baca.

 

Mungkin ada orang akan bersedih, itu juga satu reaksi yang normal. Saya sedihlah juga sikit tapi gelak yang lebih. Kalau anda gelak juga, kita boleh geng.

 

. . . . . . . . . . . .

 

Antara benda yang disentuh dalam novel:

 

1. Kepentingan literasi dan pendidikan masyarakat

2. Kepentingan sikap menyoal autoriti dan berani menegakkan kebenaran

3. Cara permainan dan propaganda ahli politik:

- Yang ni betul-betul akan buatkan anda muhasabah kembali (mungkin juga mencarut) memikirkan perangai sesetengah politikus, khususnya yang berada di Malaysia

 

. . . . . . . . . . . . .

 

[Spoiler Alert!]


Satu je soalan saya yang tak terjawab dalam buku ni.

 

Kenapa binatang-binatang dalam Animal Farm ni mengaku bersubahat dengan Snowball sedangkan benda tu akan membawa kepada kematian mereka? Dan kenapa mereka mengaku bersubahat sedangkan benda tu tipu?

 

Saya dah cuba nak faham, tapi masih tak dapat jawapan. Mungkin ada jawapannya dalam Revolusi Rusia yang saya perlu baca lebih dalam.

 

. . . . . . . . . . . . . . .

 

Untuk kritikan sosial yang padu serta penceritaan yang mudah dan kelakar, saya bagi 10 untuk Orwell. Dia dah buatkan saya tak sabar nak baca 1984.

 

Itu saja untuk ulasan kali ni. Gelak, gelak juga.

Tapi jangan lupa tengok cermin.

 

- Ilham Nordin -

2:38 PM, 8/9/2020

No comments:

Post a Comment