Tuesday, 8 September 2020

Ulasan Buku #2: Mencapai Keluhuran Budi

 


"Maka tidaklah banyak orang dalam agama apa pun yang faham atau yang memahamkan bahawa "agama" itu suatu peraturan hidup bagi memimpin manusia dalam kehidupan di dunia ini terhadap kelakuan dan perbuatan baik dan jahat, salah dan betul"


Tajuk: Mencapai Keluhuran Budi
Penulis: Za'ba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (1989)
Jumlah mukasurat: 91
Harga: RM7.50 (Promosi DBP)

Ini buku kedua Za'ba yang saya selesai baca, selepas 'Perangai Bergantung pada Diri Sendiri'. Dan melihat kepada tulisan dalam kedua buku ini, saya tak terkejut Za'ba pernah dicemuh sebagai 'Kaum Muda' yang membawa pembaharuan kerana ideanya jauh terkehadapan berbanding kebanyakan orang pada zaman beliau.

Buku ini merupakan 10 himpunan artikel Za'ba yang diterbitkan selepas beliau meninggal dunia. Kalau kita lihat buku ini, topik utamanya boleh dipecahkan kepada tiga, dengan satu tema yang mengikat kesemuanya iaitu 'kemuliaan perangai'.

1. Agama (4 artikel)
- Tujuan agama 
- Agama yang sebenar
- Kepentingan pengetahuan agama 
- Keperluan didatangkan agama

2. Keibubapaan (4 artikel)
- Hak anak terhadap ibu bapa
- Cara-cara mendidik anak
- Ibu bapa sebagai guru yang pertama
- Didikan dalam urusan rumahtangga

3. Berjimat cermat (2 artikel)

. . . . . . . . . . . 

Antara isi yang saya dapat:

1. Moraliti kita tidak boleh ditentukan oleh akal kita yang terhad. Dalam banyak hal, ya, kita perlu berfikir, tapi kata akhir dalam menentukan apa yang baik dan apa yang buruk terletak di tangan Allah untuk menentukannya. Sebagai pencipta, Allah lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi kita walaupun minda kita belum dapat mencerna hikmahnya. Tambahan lagi, kita mempunyai nafsu. Dan nafsu berpotensi melorongkan akal kita ke arah kejahatan kalau tidak dibimbing dengan agama.

2. Tujuan utama dan terpenting kita beragama adalah supaya kita berperangai baik. Yakni tahu apa yang baik, apa yang tidak baik, apa yang betul, dan apa yang salah. Dalam tujuan ini, terangkum dua tujuan yang lain kita beragama iaitu 'mendapat keredaan tuhan' dan 'selamat di dunia dan di akhirat'. Ramai orang ingat kita beragama kerana dua tujuan itu, tapi sebenarnya dua perkara itu ialah buah selepas kita selesaikan tujuan yang pertama (berakhlak mulia). Hanya selepas tercapainya tujuan pertama, barulah dua hasil tadi dapat kita tuai.

3. Perlunya agama adalah untuk memberi jawapan tentang 3 perkara yang manusia sering tertanya-tanya secara fitrahnya:

i) Siapakah Tuhan?
ii) Bagaimanakah kehidupan selepas mati?
iii) Apakah tanggungjawab manusia kepada tuhannya?

4. Asalnya, kesemua agama adalah benar dan berasal daripada Tuhan. Tetapi akhirnya hanya Islam agama yang benar dan diterima. Kenapa begitu? Boleh jadi salah satu daripada dua sebab:

i) Syariat yang asalnya memang berbeza. Yang ni memang diakui. Nabi-nabi terdahulu datang dengan syariat yang sedikit berbeza daripada yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. sesuai dengan umat dan keadaan semasa mereka.

Datangnya Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W menyatukan kesemua syariat yang terdahulu dan membetulkan mana yang tersimpang. Berbeza dengan sebelum-sebelumnya, syariat Islam ini ditujukan kepada seluruh alam dan bukanlah untuk mana-mana satu kaum yang khusus kerana sifatnya yang lebih meluas. Disebabkan itu, tidak perlu lagi kepada agama-agama yang lain itu dan disatukan bawah ajaran Nabi Muhammad S.A.W.

ii) Tokok tambah kepada ajaran asal. Agama Islam merupakan satu-satunya agama yang masih ada kitab asalnya dan kandungan itu tidak diubah walaupun sedikit. Adapun sesetengah agama yang lain, walaupun pada asalnya mungkin betul, kitabnya telah diubah-ubah dan tidak jelas lagi mana ajarannya yang asal dan mana yang ditokok tambah.

5. Mendidik anak itu sebaiknya dengan jalan tengah. Tidak terlampau kasar, dan tidak terlampau lembut. 

Perkara yang saya suka dengan buku ni:


1. Penggunaan dalil yang banyak.

Menariknya tentang mana-mana tulisan Za'ba, beliau pasti akan letak banyak hadis dan ayat al-Quran untuk menyokong apa-apa isi yang sedang disampaikan. Meletakkan dalil untuk menyokong isi ialah satu kerja yang baik kerana hujah daripada al-Quran dan as-Sunnah itu sukar disangkal keabsahannya dan hujah beliau menjadi kukuh. Secara tak langsung, mereka yang membaca juga akan lebih terdorong untuk kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan sebelum merujuk buku-buku yang lain.

2. Perbincangan falsafah dengan bahasa yang mudah

Isu moraliti merupakan perbincangan dalam bidang falsafah yang kadang-kadang sangat berat untuk kita faham. Dalam buku ni, Za'ba menyatakannya dengan bahasa yang mudah sahaja. Walaupun bahasanya agak klasik, tapi tak lah susah untuk kita faham kerana Za'ba tidak membincangkannya secara mendalam atau terlampau teknikal.

. . . . . . . . . .  . . . . . .

Perkara yang saya tak setuju:


1. Sikap terhadap kesahihan hadis.

Menuju ke hujung-hujung buku ini, Za'ba menulis tentang faedah berjimat cermat dan diberikan banyak hadis sebagai sokongan. Tetapi saya sedikit ralat dengan satu perenggan yang ditulis Za'ba selepas hadis yang banyak-banyak tu. Beliau kata:

"Kelima-limanya perkataan yang telah disebutkan ini ialah perkataan diriwayatkan telah terbit daripada lidah Nabi kita S.A.W. Usahlah dikira darjatnya hadis itu pada pandangan ahli istilah hadis sahihkah, matwatirkah, marfu'kah, hasankah, muttafaq alaihkah, daifkah, maudu'kah dan lain-lain lagi. Memada dilihat bahawa fikiran yang dikatakannya itu benar dan tujuannya baik. Tambahan pula, cukup berbetulan dengan ajaran Quran yang telah disebutkan ayat-nya dalam makalah yang pertama dahulu, serta disetujui pula oleh timbangan akal kita yang siuman.""

Saya sedikit terperanjat dengan pandangan yang ditulis Za'ba ni kerana dalam banyak tulisannya yang lain, pandangannya selari dengan pemikiran 'Kaum Muda' tapi di sini nyata berbeza. Dan saya mula faham sedikit kenapa Za'ba tidak meletakkan nama perawi bagi setiap hadis yang beliau nyatakan dalam buku ni. Tidak mengapalah yang itu, mungkin beliau tersilap. 

Dalam berurusan dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W, saya masih berpandangan yang hadis ini ada disiplinnya yang ketat dan kita tidak boleh sebarangan meletakkan satu-satu perkataan dalam mulut Nabi. Walaupun kita berniat baik dan mesejnya mungkin betul, kita masih tidak boleh berbuat sewenangnya kerana 

i) Nabi sendiri melarang berbohong atas dirinya:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” 

[Riwayat al-Bukhari (107)]



ii) Moraliti (baik buruk) kita bukanlah bergantung pada apa yang kita rasa semata-mata, malah bergantung pada Al-Quran dan hadis Nabi. Contoh mudah, walaupun pada asalnya zikir itu baik, tetapi zikir 10,000 kali lepas habis solat bukanlah satu benda yang dituntut agama melainkan ada dalil yang sahih mengatakan sedemikian. Bagi kita, lebih banyak zikir itu lebih baik, tetapi sebenarnya tidak. Mengikut ajaran agama sebagaimana yang diajar Nabi itulah yang dituntut.

Ironi apabila Za'ba tulis begini kerana menurut beliau, sumber moraliti kita datangnya daripada Allah dan Rasul. Kalau kita tidak peduli tentang kesahihan hadis, bukankah bermakna moraliti kita boleh berubah-ubah dan dimanipulasi orang?

. . . . . . . . 

Sekian ulasan untuk buku ini. Buku-buku Za'ba sememangnya perlu diketengahkan kepada orang awam supaya mereka kenal siapa dia yang sememangnya gigih dalam usaha memandaikan masyarakat di sekelilingnya. Semoga Allah merahmati usaha beliau menulis artikel-artikel ini.

- Ilham Nordin -
6:25 PM, 8/9/2020








No comments:

Post a Comment